Siapakah kita?



        Pada 1 November yang lalu, keputusan peperiksaan akhir UiTM untuk diploma telah diumumkan. Disini saya mengucapkan sekalung tahniah bagi yang mendapat keputusan cemerlang. buat mahasiswa yang telah berusaha tetapi tidak mendapat keputusan seperti yang kita inginkan, sabar dan teruskanlah perjuangan kita dalam menelusuri kehidupan yang pelbagai rencah ini.

   Namun begitu, ia bukan persoalan yang ingin saya timbulkan. Sebagai seorang mahasiswa, saya sering tertanya-tanya apakah tujuan saya berada di universiti. Apakah sekadar ingin memenuhi tanggungjawab kita sebagai anak?adakah matlamat hidup kita cuma untuk mendapatkan pekerjaan yang baik agar sosioekonomi kita akan terjaga?atau menuntut ilmu untuk mendapat keredhaan Allah SWT seperti yang disebut dan dicanang oleh mahasiswa sekarang ini?

   Mahasiswa

  Mahasiswa ialah golongan cendekiawan muda yang menjadi tonggak untuk mengubah masyarakat ke tahap yang lebih baik. Mereka bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dengan pemahaman ilmu yang mereka perolehi di universiti [1]. Sebagai cendekiawan muda, mereka sepatutnya sedar bahawa pemahaman ilmu tanpa amal akan menjadi sia-sia kerana ilmu yang diperoleh itu tidak dicurahkan untuk pembangunan masyarakat.

   Abad ini menyaksikan wacana berkenaan pentadbiran negara, kemelut ekonomi, hak asasi manusia, perbincangan ideologi dan sebagainya telah mendapat tempat dalam masyarakat sivil terutamanya di negara-negara maju. Sebagai Mahasiswa, kita sepatutnya menggunakan segala kekuatan ilmu yang kita untuk berwacana dan menggerakkan kembali budaya ilmu di universiti yang semakin lenyap. Sebagai contoh, terdapat beberapa gerakan yang digerakkan oleh anak muda sendiri terutamanya mahasiswa untuk menimbulkan kembali budaya ilmu di Malaysia seperti yang dilakukan oleh Buku Jalanan.

Syed Hussien Al-Attas, seorang ahli intelektual yang terkenal menyebut tugas intelektual amat penting kerana mereka memainkan peranan penting dalam memajukan dan memimpin masyarakat [2]. Kerancuan pemikiran mahasiswa sekarang ini dengan pemikiran yang merosakkan budaya seperti hedonisme dan pentingkan diri sendiri akan memberi kesan yang mendalam dalam pembentukan negara Malaysia pada masa hadapan. Kita seharusnya berani  bergelumang dengan pelbagai rencam pemikiran dalam masyarakat. Perpustakaan sepatutnya menjadi rumah kita yang kedua kerana ia adalah sumber ilmu pengetahuan yang tiada had selain menjadi tempat kita menghabiskan masa mengulangkaji untuk peperiksaan akhir. 

Mahasiswa seharusnya seimbang dalam intelektualisme, idealisme, aktivisme dan spiritualisme sebagai persiapan untuk memimpin masyarakat. Walaupun kita sibuk dengan pelbagai tugasan yang diamanahkan, tetapi aktiviti luaran seperti pengurusan organisasi,kemahiran berkomunikasi dan sebagainya juga perlu diambil perhatian.

Gerakan Mahasiswa

Tidak dinafikan ramai mahasiswa sekarang ini menjadi aktivis dalam pelbagai lapangan bersama masyarakat. Akan tetapi gerakan mahasiswa bergerak dengan lambat di universiti akibat tekanan feudalisme universiti iaitu HEP. Kita boleh mulakan gerakan pembudayaan ilmu dengan kawan-kawan kita di universiti seperti membuat perbincangan, meminjam dan membedah buku, gotong royong dan sebagainya. Gerakan mahasiswa seharusnya mempunyai fahamannya sendiri dan mampu berdiri tanpa bantuan mana-mana parti politik.

Mahasiswa juga boleh menjadi sebahagian daripada gerakan sosial yang semakin berkembang di negara kita. Gerakan sosial memainkan peranan yang penting sekarang ini dalam membawa idea-idea pembaharuan untuk keselesaan masyarakat dan mendapat tempat dalam pentas demokrasi negara kita [3]. Sudah tiba masanya mahasiswa termasuk saya berusaha menghidupkan kembali budaya ilmu di universiti dan seterusnya mensiapkan diri untuk memimpin masyarakat ke arah yang diredhai Allah SWT.

Rujukan :

 [1]http://www.projekdialog.com/featured/mahasiswa-malaysia-book-of-          records-dan-pesan-pesan-terhadap-cendekiawan/
  
 [2] Syed Hussien Alatas, Intelektual masyarakat membangun

 [3] Dato Saifuddin Abdullah, Memacu transformasi

   

    

♥ syukran jazilan.. salam ukhuwah.. semoga bertemu lagi ♥

No comments: