Sejarah..


        Sejarah adalah salah satu mata pelajaran bagi pelajar sekolah menengah. Saya percaya ia adalah satu mata pelajaran yang membosankan bagi pelajar diseluruh Malaysia. Mengapa subjek sejarah menjadi satu penghalang untuk pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan ( bagi kehidupan di sekolah, mencapai A bagi semua mata pelajaran adalah satu kebanggaan khususnya sekolah yang mementingkan kedudukan sekolah terbaik)? ia menjadi satu tanda tanya buat saya sejak dahulu lagi.

       Salah satu punca sejarah membosankan ialah fakta yang perlu dihafal. Tidak dapat dinafikan bahawa mata pelajaran sejarah penuh dengan fakta-fakta sejarah yang perlu dihafal oleh pelajar sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Rata-rata pelajar sekarang lebih menumpukan mata pelajaran sains dan matematik ( maklumlah semuanya sudah didoktrin sejak kecil bahawa sains dan teknologi menjamin masa hadapan pelajar).

     Sejarah amat penting untuk dipelajari. Ia bukan dihafal tapi ia perlu difahami agar kesilapan masa lalu tidak diulangi kembali oleh generasi akan datang. Wah! betapa mudahnya formula sejarah. Sejarah bukan hanya sebagai pengajaran, tetapi ia adalah kehidupan. Sejarah tidak pernah menipu tetapi orang yang menulis sejarah akan menipu. Sejarah yang benar perlu digali kembali untuk membentuk Malaysia yang baru.

    Kementerian Pelajaran seharusnya membentuk satu modul yang mantap untuk mata pelajaran sejarah bukan untuk mengampu pihak yang berkuasa, tetapi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih prihatin akan nasib negara mereka sendiri. Jika pihak kementerian gagal , pihak sekolah boleh mengambil inisiatif sendiri untuk memupuk minat pelajar terhadap mata pelajaran sejarah.

    Itulah impian saya terhadap sejarah. Dengan kemalasan masyarakat kita khususnya mahasiswa untuk membaca dan mencari kebenaran, saya dapat bayangkan betapa perjuangan kita untuk melahirkan Malaysia yang demokratik, adil dan bebas rasuah adalah sia-sia kerana kita sudah diperbodohkan dengan banyak sejarah yang palsu oleh pihak-pihak tertentu.

     

♥ syukran jazilan.. salam ukhuwah.. semoga bertemu lagi ♥

Guru..

GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
 Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

  Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
                        
                           Usman Awang, 1979

Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada para guru yang sedang berjuang untuk mendidik pelajar menjadi manusia yang berguna. 
 
Bukan itu sahaja pesanan yang saya ingin sampaikan . Tugas utama para guru ialah memanusiakan kembali manusia . Sebagai seorang mahasiswa yang menjalani kesemua peperiksaan penting semasa di sekolah dahulu, saya berharap guru-guru saya sedar bahawa setiap pelajar ada potensi di dalam diri mereka dan bukannya hanya memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang untuk berjaya sehingga menjadi dasar sekolah untuk mengejar kedudukan untuk menjadi sekolah terbaik.
 
Buat sahabat saya yang bakal menjadi guru, pikullah tanggungjawab ini dengan amanah untuk melahirkan manusia yang akan membangunkan masyarakat menjadi masyarakat kelas pertama. Selain itu , sematkanlah dalam jiwa bahawa setiap pelajar ada potensi untuk dibentuk dan berhak mendapat pendidikan yang sama tidak kira cemerlang atau tidak...
 
Akhir kata , saya bangga dengan guru-guru saya yang mendidik anak bangsa...maaf sekiranya terkasar bahasa.
                                             

♥ syukran jazilan.. salam ukhuwah.. semoga bertemu lagi ♥

Universiti Kehidupan

Sudah setahun aku menyambung pelajaran di salah sebuah universiti yang terletak di Indera Kayangan. Negerinya amat indah dan sedang rancak membangun. Namun begitu, bukan itu yang aku ingin ceritakan tetapi hanya ingin meluahkan apa yang terbuku didalam hatiku ini.

Setiap orang ingin menikmati kehidupan di universiti. Untuk melayakkan diri memasukinya, SPM yang hanya berasaskan soalan-soalan ramalan dari percubaan negeri lain dan buku-buku latihan menjadi ukuran.

Apakah mahal nilainya sebuah peperiksaan itu?

Ya,mahal sehingga pelajar yang keciciran tidak dapat menikmati kehidupan di universiti. Bagaimana pula yang berjaya menyambung pelajaran? tiada apa yang inginku katakan selain mereka itu kini diproses oleh universiti yang sama tarafnya dengan kilang untuk menjadi pekerja bukannya manusia.

Kebebasan Akademik menjadi dambaan bagi mahasiswa yang jiwanya manusia. Namun semua itu hanyalah khayalan semata-mata buat mahasiswa yang ingin melihat masyarakat bangkit untuk maju. Buat kawan-kawanku yang berada di universiti, kalian harus sedar bahawa universiti bukanlah tempat untuk kita menghabis masa muda kita untuk menjadi tua dengan mengejar CGPA yang tinggi, hidup dengan aliran pemikiran hedonisme yang melampau dan persatuan aktiviti yang terlalu tumpul daya intelektualismenya. Universiti adalah tempat kita mencanai idea-idea besar,tempat untuk kita menjadi manusia kembali, menegakkan keadilan dan merasai kenikmatan ilmu pengetahuan yang berlimpah ruah. Inilah yang dikatakan universiti kehidupan.

itulah universiti yang aku dambakan dalam hidup ini..yang mungkin hanya tinggal angan-angan.. kerana pihak-pihak tertentu telah merendahkan cita-cita mahasiswa untuk mengubah negara ini ke arah yang lebih baik.

♥ syukran jazilan.. salam ukhuwah.. semoga bertemu lagi ♥