cerita...(2)

"Ayah, along nak pergi kelas tambahan boleh?", tanya Ahmad

"Tak boleh , kerja kau jaga adik-adik!", bentak Pak Ali.

Ahmad tunduk kesedihan. Kesedihan yang tak dapat dibendung bukan semata-mata kerana herdikan ayahnya,tetapi...

dia tiada peluang untuk pergi ke kelas tambahan seperti rakan-rakannya yang lain.

Ahmad berjalan sambil menghirup udara petang yang tengik, bercampur dengan bau asap dan sampah yang memualkan. Itulah realiti kehidupan seorang anak yang tinggal di lingkungan luar bandaraya Mega Makmur. Bandaraya Mega Makmur mengalami  perubahan yang amat ketara akibat dasar pengasingan yang dirangka oleh kerajaan pada 5 tahun yang lalu. Golongan miskin dan menengah diarah pindah ke lingkungan luar kerana sang kapitalis yang sering dahagakan darah merampas tanah untuk tujuan pembangunan.

Di lingkaran itulah Ahmad membesar, disitu jugalah persaingan kehidupan berjalan, seperti ungkapan yang pernah dirakamkan dalam sebuah filem, "Hidup ini sebuah perlumbaan, kalau kau lambat, kau akan mati."

Ahmad termenung ditebing sungai, sambil memerhatikan Bandaraya Mega Makmur yang tersergam indah walhal penuh dengan nafsu semata-mata.

"Adik, kenapa termenung ni?", sapa seorang pemuda kepada Ahmad.

"Oh abang, saya termenung mengenangkan nasib diri. Abang, adakah menjadi satu dosa saya dilahirkan sebagai anak orang miskin?", tanya Ahmad. Pemuda tersebut tersenyum pabila ditanya soalan begitu oleh seorang budak yang naif tentang kehidupan.

"Tidak menjadi satu kesalahan apabila kita dilahirkan sebagai manusia tidak kira miskin atau kaya adikku. Ingat Allah memuliakan manusia dengan akal fikiran kerana kita adalah khalifah di mukabumi ini serta memakmurkannya." jawab pemuda itu.

"Bagaimana saya hendak berharap kepada tuhan jika hidup ini pun tiada kebahagiaan? saya sentiasa berdoa dan berusaha tapi ada saja benda yang menghalang semua itu." luah Ahmad sambil menangis.

"Adikku, Allah sentiasa bersama hambaNYA yang tidak mudah berputus asa. Harapan dan Takut perlu seiring. Kita hidup pun atas dasar rahmat dan kasih sayangNYA." pemuda tersebut memberi semangat kepada Ahmad. "Orang kuat dia tidak akan sentiasa menangis,jadi senyumlah..hehe."

"Saya nak belajar seperti orang lain. kawan-kawan semua pergi kelas tambahan untuk mengukuhkan kefahaman tapi..saya dan beberapa rakan yang lain tiada peluang kerana tiada wang."

"Nah , ni kad abang.Nanti bolehlah ajak kawan-kawan yang lain pergi tempat ini. Ingat, setiap orang diberi peluang untuk belajar. Tanpa wang pun kita boleh belajar dan berjaya. abang minta diri dulu ye,ada kerja perlu diselesaikan, " kata pemuda itu sambil tersenyum.

Ahmad melihat kad tersebut, ia tertulis "Hidup dengan cinta,pendidikan itu adalah cinta,ayuh sertai kelas percuma ini,pendidikan percuma untuk semua".

Pendidikan percuma,pendidikan untuk semua. Anak orang miskin juga adalah manusia merdeka bukan hamba....

♥ syukran jazilan.. salam ukhuwah.. semoga bertemu lagi ♥

cerita...


Cuaca indah seperti hari-hari yang lalu. Angin berdesir lembut umpama membelai ketenangan jiwa . Burung-burung berterbangan bebas di angkasa , seperti bebasnya jiwa Fazrin ketika ini.

Fazrin..

"Fazrin , apa yang hang menungkan ?" tanya ibu.

"tak ada apa mak, Fazrin cuma sedih  mak  kempunan nak tengok anak mak seorang ni  dapat segulung ijazah." sahut Fazrin dengan nada kesedihan.

Fazrin diberhentikan secara terancang oleh pihak universiti selepas dituduh merancang satu bantahan untuk membantah dasar kerajaan yang semakin menggila menekan kehidupan rakyat. Begitulah adat kehidupan, yang benar akan sentiasa ditekan agar api perjuangan dapat dipadamkan dan yang batil itu sering kali dijunjung tinggi.

"Tak apa Fazrin, hang bukannya buat benda jahat, hang berjuang demi rakyat marhaen. Allah sentiasa bersama dengan orang yang dizalimi , doa adalah senjata utama kita. " pujuk ibunya . Fazrin mewarisi keberanian ayahnya yang pernah terlibat dalam demonstrasi Baling pada tahun 1974.

"Terima kasih mak doakan Fazrin." Ketenangan jiwa meresap jauh dalam dirinya. Nyatalah bahawa doa ibu itu tiada hijab dengan Allah SWT.

Keesokan harinya , seperti biasa Fazrin membaca buku diberanda rumahnya . Walaupun dia bukan lagi mahasiswa, tetapi dia tetap menghadam buku-buku. Nama-nama seperti Syed Hussien Alatas, Ali Shariati, Syed Muhammad Naquib Alatas, Malik Bennabi dan lain-lain lagi tidak lekang diminda Fazrin. Tiba-tiba datang sebuah Alza berhenti di rumahnya. Kelihatan dua orang pemuda didalam kereta tersebut. Fazrin terkejut kerana kereta tersebut adalah milik universiti yang telah membuangnya.

"Assalamualaikum, adakah ini rumahnya Muhammad Fazrin?" tanya pemuda dalam lingkungan umur 30-an

"Ya, saya Fazrin. Ada tujuan apa encik mari ke sini?" Tanya Fazrin. Apa tujuan mereka datang ke mari?adakah mereka ingin memberi surat pemberhentian aku?, dia bermonolong dalam hati.

"Tujuan kami datang ke mari adalah ingin menyampaikan berita bahawa anda dimasukkan kembali ke universiti Negeri Antah Berantah . Naib Chanselor telah ditekan dengan hebatnya oleh mahasiswa di universiti agar menarik kembali arahan memberhentikan anda dari universiti tersebut." kata pemuda tersebut.

"Ya Allah, aku bersyukur terhadapMu kerana mendengar doaku," mengalir airmata Fazrin sambil sujud syukur.

Begitulah orang berjuang, jatuh bangunnya dia adalah bersama Allah SWT kerana DIA tidak akan pernah mengecewakan kita.






♥ syukran jazilan.. salam ukhuwah.. semoga bertemu lagi ♥