Buku : Pedagogi Bahasa Tertindas





Apabila melihat hebahan yang dibuat oleh Dubook Press mengenai buku ini di Pesta Buku 1Malaysia tahun lepas,membuatkan diri ini berazam untuk memilikinya kerana saya tahun penulis tidak akan mengecewakan hati ini dengan perkongsian yang dibuat seperti buku pertamanya iaitu Sekolah Bukan Penjara,Universiti Bukan Kilang.

Pedagogi Bahasa Tertindas, Sebesar tajuknya seperti apa yang tersurat didalam warkah tersebut. Warkah ini mengenai  anak bangsa yang berkongsi satu perasaan dan satu penegasan bahawa Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik memberi kesan yang amat besar kepada sistem pendidikan negara dan hanya merugikan bangsa Malaysia itu sendiri. Pengalaman berada didalam sistem ini sejak zaman persekolahan hingga universiti sekarang ini membuatkan hati ini memberontak kerana Bahasa Melayu ditolak penggunaannya hanya kerana sikap sebahagian besar Mahasiswa sendiri yang merasakan perkara ini tidak penting, yang penting hanya belajar, dapat keputusan yang cemerlang dan peluang kerja yang cerah.Kecintaan kepada ilmu pengetahuan menjadi malap akibat proses doktrinisasi sejak zaman sekolah.

     Penulis juga menekankan bahawa ilmu pengetahuan sekarang ini hanya ilmu yang diperolehi dari buku dan tidak berkembang untuk kebaikan masyarakat. Makna ilmu sendiri sudah lari dari epistemologi Islam yang bermula dengan membaca kerana melalui proses tersebut, manusia akan berfikir. Ilmu seharusnya berakar dengan agama dan budaya setempat agar pembangunan tamadun itu bersifat lestari dan menitikberatkan hubungan antara Allah, Manusia dan Alam.


     Lupakah kita kepada sejarah? George Santayana pernah mengatakan bahawa bangsa yang melupakan sejarah akan mengulangi kesalahan yang sama. Sejarah telah menunjukkan bahawa Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca didalam tradisi keilmuan dan perdagangan dirantau kepulauan Melayu ini. Jadi apakah yang menjadi penghalang untuk kita memartabatkan kembali bahasa ibunda kita menjadi bahasa ilmu? Finland,Jepun ,Korea Selatan, China, Jerman dan Perancis telah membuktikan keberkesanan bahasa ibunda menjadi bahasa ilmu.


   Membaca warkah ini membuatkan saya berfikir sejenak apa tanggungjawab saya sebagai seorang muslim dalam melestarikan ilmu-ilmu yang diperoleh agar menjadi kekuatan dan senjata untuk melawan serangan budaya dan pemikiran yang telah dilancarkan oleh penjajah beratus tahun yang lalu. Ia juga membuka pandangan saya tentang isu ini dengan perspektif yang berbeza.

   Kesedaran bahawa kita ini hanyalah hamba Allah SWT boleh membuatkan kita berfikir sejenak,apa yang sepatutnya kita lakukan dan apa pilihan kita untuk berbakti kepada agama,masyarakat dan negara umumnya kerana hidup kita ini mempunyai pilihan pilihan.





   







♥ syukran jazilan.. salam ukhuwah.. semoga bertemu lagi ♥